0

Kerajaan tidak boleh lagi menafikan dan tidak mengendahkan kecaman antarabangsa terhadap penahanan Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Selepas setahun dipenjara kerana kesalahan meliwat bekas pembantu, sudah tiba masanya kerajaan membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy berkata, kerajaan tidak boleh lagi terus menafikan tanggungjawab dan tidak mengendahkan kecaman antarabangsa terhadap penahanan Anwar.

“Penahanan Anwar dikecam pihak antarabangsa atas pelbagai sebab yang mengancam dan menjejaskan institusi perundangan dan hak asasi di Malaysia.

“SUARAM sekali lagi mengecam penahanan Anwar dan menggesa beliau dibebaskan segera tanpa sebarang syarat,” katanya dalam satu kenyataan.




Beliau membangkitkan kenyataan yang dibuat United Nations Working Group on Arbitrary Detention (UNWGAD) pada November tahun lalu yang mendakwa layanan terhadap Anwar mencabuli larangan antarabangsa terhadap ‘penyiksaan atau layanan mengaibkan dan tidak berperikemanusiaan’.

“Walaupun dengan kesimpulan UNWGAD, kerajaan Malaysia terus memilih untuk menafikannya dan enggan menangani ketidakadilan terhadap Anwar.

“Sikap ini hanya boleh diertikan sebagai penafian dan usaha untuk mengekalkan kepura-puraan Malaysia dalam mematuhi prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa,” katanya lagi.

Pada 8 Februari lalu, pertubuhan antarabangsa Human Rights Watch turut mendesak kerajaan membebaskan Anwar yang disifatkannya sebagai tahanan berasaskan politik.

Kira-kira 1,000 menyertai himpunan Bebas Anwar di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh semalam sempena ulang tahun pertama pemenjaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.




Source from FMT NEWS

Post a Comment

 
Top