0

Skala skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menghalang pelabur asing datang ke Malaysia, kata syarikat berkaitan agensi penarafan kewangan dunia Fitch Group.

Perniagaan antarabangsa juga akan berhati-hati dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kerana mereka berisiko dikaitkan skandal rasuah, kata BMI Research.

“Jumlah pihak berkuasa antarabangsa yang menyiasat operasi 1MDB, bilangan nilai diseleweng, selain dakwaan umum mengenai pembabitan pihak berkuasa dalam skandal itu, semuanya akan membimbangkan pelabur asing,” kata BMI dalam satu kenyataan, hari ini.

Syarikat dunia juga akan berhati-hati dalam berurusan dengan GLC dan institusi kerana jika ditangkap kerana skandal rasuah boleh menyebabkan mereka didenda, reputasi musnah dan kehilangan pelabur, kata BMI.

“Perniagaan yang sudah beroperasi di negara ini perlu memastikan program pematuhan mereka diwar-warkan dan dikuatkuasakan untuk mengelak terdedah kepada amalan rasuah,” kata BMI.

Laporan itu dikeluarkan ketika penyiasat dari Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat yang menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap 1MDB, syarikat pelaburan negara dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai penasihat.




Pihak berkuasa Switzerland sudah meminta Malaysia membantu dalam siasatan mereka terhadap 1MDB di mana AS$4 bilion dikatakan diseleweng daripada GLC.

Laporan Wall Street Journal pada Julai lalu mendakwa AS$681 juta (RM2.6 bilion) daripada syarikat berkaitan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Najib atas sebarang kesalahan salah laku dalam menerima AS$681 juta kerana ia derma peribadi daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.

“Skandal 1MDB menambah kepada pertambahan kebimbangan terhadap rasuah, paras bebas daripada hukuman dan keseluruhan penurunan kedaulatan undang-undang di Malaysia, yang melemahkan sentimen pelabur terhadap negara,” kata BMI.

Kontroversi itu akan menjejaskan skor Malaysia bagi kategori persekitaran undang-undang dalam indeks perdagangan dan pelaburan BMI. Kategori itu mengukur kekuatan kedaulatan undang-undang dan ketelusan dalam kerajaan.

Malaysia pada masa ini berada pada pencapaian kukuh dan skor 75.2 daripada 100, di kedudukan ke-5 di kalangan 35 negara di rantau Asia.

“Bagaimanapun, skor itu dijangka menurun pada penggal pertengahan, memandangkan skala skandal rasuah itu akan menghalang pelabur asing mempertimbangkan untuk masuk ke pasaran Malaysia,” kata BMI. – 11 Februari, 2016.




-The Malaysian Insider-

Post a Comment

 
Top