0

Oleh Aizat Fikri Nasir Fikri
Kesetiaan sering menjadi tema dan latar dalam karya-karya Shakespeare. Dalam Macbeth misalnya, seorang general perang terhormat lucut kesetiannya kepada Raja Duncan hingga bertindak menghapuskannya dek gilakan pangkat, kekuasaan dan kedudukan. Pada hemat saya, karya-karya Shakespeare amatlah tepat dan tidak lekang dek zaman kerana ini benar-benar terjadi dalam dunia realiti masa kini, terutama sekali di pentas politik Malaysia.

UMNO sentiasa memperkudakan istilah kesetiaan, malah menyalahgunakannya. Terbukti di perhimpunan agung yang lepas, terma kesetiaan ini dimainkan berulang kali. Namun begitu, UMNO perlu sedar, kesetiaan bersifat dua hala. Bukan sahaja ahli parti yang perlu menunjukkan taat setia kepada UMNO, malah UMNO juga perlu menunjukkan kesetiaan kepada anggota-anggotanya dengan sedia mendengar pandangan daripada peringkat akar umbi. Adalah tidak adil mengharapkan anggota parti supaya setia, tetapi UMNO melayan ahli parti dan pemimpin-pemimpin akar umbi secara berat sebelah atau mengamalkan double standard. Jangan pula disalah ertikan seolah-olah UMNO ialah satu agama dan pemimpin tertingginya mempunyai imuniti yang menjadikannya kebal ibarat boleh berjalan diatas air.




Sedar tidak sedar, propaganda kesetiaan ini ditanam secara halus sejak dahulu lagi. Persoalaannya, pemimpin-pemimpin UMNO baik MTnya-kah, Ketua Bahagiannya-kah hinggalah ke Ketua Cawangan faham atau tidak konsep kesetiaan dalam UMNO? Pernahkah UMNO setia kepada pemimpinnya? Adakah UMNO setia pada Onn Jaafar sehinggakan beliau keluar parti dan menubuhkan Parti Negara? Adakah UMNO setia kepada Tunku Abdul Rahman hingga beliau merajuk dan berhenti? Adakah UMNO setia kepada Tun Abdul Razak? Adakah UMNO setia kepada Tun Hussein Onn? Adakah UMNO berlaku setia dan hormat kepada Tun Mahathir? Tentunya tidak, lihat sahaja layanan UMNO terhadap Tun. Dan adakah UMNO benar-benar setia dan berlaku adil kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dipaksa menyerahkan tampuk kepimpinannya? Sebelum ini, ramai mempersoalkan di mana kesetiaan Timbalan Presiden terhadap Presiden parti di saat Presiden parti dikecam hebat. Contohnya, dalam persidangan UMNO baru-baru ini, rata-rata ketua UMNO bahagian dan perwakilan mengecam tindakan Timbalan Presiden yang mempersoalkan segala tindak tanduk Presiden parti. Agak saya, pada fahaman mereka, Timbalan Presiden harus menjadi boneka dan pak angguk yang membayangi setiap keputusan Presiden. Pelik sungguh sistem didalam UMNO masakini, mengajar ahli-ahli hanya untuk setia kepada pemimpin tertinggi iaitu Presiden Parti? Apakah pemimpin lain, Timbalan, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Bahagian tidak layak untuk menerima setia? Jelaslah di sini, UMNO mengamalkan kesetiaan sehala.



Kini, giliran Mukhriz pula digasak kanan dan kiri supaya berundur. Ada gerakan dalaman parti yang berhasrat membunuh karier politik Mukhriz. Rakyat bukannya bodoh dan tidak dapat menilai, lihatlah kumpulan pendesak anti-Mukhriz yang dibarisi Aziz Rahim, Ahmad Bashah dan Jamil Khir ini, ternyata mereka hanyalah boneka yang dikawal oleh jari-jemari seseorang. Mereka ini bukanlah individu-individu yang berkeupayaan mengatur strategi dan menulis skrip untuk lakon layar yang mantap ini. Sedar atau tidak Presiden parti, dengan kehadiran dan desakan terutamanya dari individu-individu tadi, terdiri daripada ahli kabinet dan MT mengiakan dakwaan-dakwaan yang gerakan ini telah mendapat restu daripada Presiden Parti. Dalam hal ini, saya yakin bahawa Presiden parti telah sekali lagi mendapat nasihat yang salah, pegawai-pegawai politik dan penasihat firma swasta yang digaji sebagai tuan penasihat bakal menggali kubur yang lebih dalam sekali gus merosakkan imej Presiden dan parti. Saya pasti ada orang yang mengambil kesempatan terhadap kenaifan Presiden parti sehinggakan Presiden tidak dapat membezakan kaca dan permata. Mungkin juga kedapatan pihak-pihak yang mengawal dan menggerakkan tangan Presiden demi kepentingan sendiri dan cuba mengadu domba dengan menyemarakkan api yang mulanya kecil. Ada cakap-cakap punca sebenar perkara ini berlaku adalah kerana Presiden kecil hati dengan Mukhriz yang seakan-akan bersimpati terhadap Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal, ada juga suara-suara mengatakan Presiden parti tidak selesa kerana Mukhriz sering mempersoalkan keputusan yang dibuat. Dakwaan-dakwaan nakal ini tidak saya ambil serius, kerana saya tidak tahu bagaimana dan apa yang berada di dalam kepala Presiden parti, saya tidak tahu cetekkah, dalamkah minda dan pemikiran Presiden, jadi suka saya memberikan Presiden parti ‘benefit of the doubt’. Disebabkan itu marilah kita menyalahkan penasihat-penasihat Presiden, kerana penasit-penasihat yang digaji Presiden hingga ke hari ini telah banyak menyumbang kepada keputusan-keputusan yang pelik dan diragui.



Saya tidak berhasrat membela Mukhriz tetapi kita harus akui apakah terdapat pemimpin yang lebih berkaliber daripada Mukhriz di Kedah? Ke mana perginya suara-suara yang menyokong Mukhriz? Kesetiaan pemimpin-pemimpin Kedah kepada Muhkriz? Othman Aziz misalnya, timbalan ketua bahagian kepada Mukhriz sendiri, berapi-api melaungkan kesetiaan kepada pemimpin dan memuji kepimpinan Mukhriz sebelum ini, kini beliau antara dalang utama dalam drama penyingkiran Mukhriz. Janganlah orang-orang Jerlun jadikan Othman Aziz ini sebagai role model, lidah bercabang ibarat buaya darat dalam drama slot Akasia TV3. Sekiranya orang seperti ini diangkat sebagai role model, rosak binasalah parti. Kita tidak mahu melihat wujudnya Macbeth yang berkeliaran dalam parti menghendap dan merancang “pembunuhan” individu-individu tertentu.



Dalam keadaan yang meruncing ini, di mana pendekar-pendekar dan wirawati UMNO? Apakah pendirian Pemuda dan Puteri dalam isu ini? Di mana sengat dan taring generasi muda yang diwakili oleh Pemuda, Puteri, Putera dan Adinda? Apabila orang luar menghina pemimpin UMNO dan mencucuk jarum, bukan main lagi kalian berebut-rebut menunjuk hero meledak berapi-api berhujah, namun apabila orang dalam parti menggasak seorang pemimpin yang datang dari kilang Pemuda sendiri, kenapa diam seribu bahasa? Adakah kesetiaan kalian juga bersyarat? Adakah sokongan kalian perlu datang dalam pakej bersama sogokan, ganjaran dan insentif? Sungguh malang andai ini sikap dan pendirian yang diguna pakai sebagai perisai generasi muda UMNO. Apakah Muhkriz akan dibiarkan terkontang kanting tanpa pembelaan sewajarnya?



Kita sudah masak dengan modus operandi kumpulan penentang untuk menjatuhkan Mukhriz. Bermacam-macam tohmahan dilemparkan terhadap beliau. Antaranya, beliau diselar tidak mempunyai pelan untuk pembangunan Kedah, lemah menguruskan parti dan gagal menyatupadukan jentera parti di setiap peringkat. Berhentilah menabur dakyah dan alasan picisan sebegini. Apakah bukti untuk menyokong dakwaan ini? Projek-projek pembangunan sedang rancak berjalan di Kedah. Apakah yang dimaksudkan dengan “gagal dan lemah menguruskan parti”? Mungkin dalam kamus mereka ini, “gagal dan lemah menguruskan parti” bermaksud tidak memberi projek pada kroni-kroni parti atau pun tidak melantik ketua-ketua bahagian dan kroni-kroni sebagai lembaga pengarah GLC? Ada juga yang mengecam keperibadian Mukhriz. Contohnya, Datuk Latt Shariman, mendakwa Mukhriz tidak mengenali Datuk Latt walaupun beliau salah seorang pemimpin di Kedah. Rasanya tidak masuk akal dakwaan ini. Tidak mungkin Mukhriz tidak mengenali seorang bekas pegawai kanan yang cukup hebat dan pernah menggoncang pejabat Perdana Menteri suatu ketika dahulu. Berhentilah memberikan alasan seumpama ini demi mengaburi kebenaran. Jika berani dan jujur, nyatakan sahaja punca sebenar masalah ini, iaitu tidak dapat menerima perbezaan pendapat dan tidak sehaluan. Cukuplah mengganggu pentadbiran di negeri-negeri. Luka rakyat Terengganu belum lagi sembuh apabila Datuk Seri Ahmad Said dipaksa melepaskan jawatan.



Bukan senang untuk menggantikan seorang pemimpin apatah lagi menteri besar. Presiden parti perlu teliti ada orang yang hendak menjadi menteri besar. Ada orang yang gila hendak menjadi menteri besar. Kita harus bezakan kedua-dua orang ini. Orang yang hendak menjadi menteri besar tidak begitu berbahaya justeru orang ini akan akur pada takdir jika rezeki tidak menyebelahinya. Yang berbahaya ialah orang yang gila hendak menjadi menteri besar. Individu ini tidak reti mengukur baju di badan sendiri hingga sanggup melakukan apa jua demi mencapai matlamatnya. Kesetiaan dalam UMNO mesti diperhalusi semula dan garis panduan untuk menjadi seorang pemimpin mesti ditetapkan. Bagaimana UMNO mengukur kehebatan dan keberkesanan seorang pemimpin dalam menguruskan parti? Adakah kehebatan seorang pemimpin itu dukur melalui kaliber, kroni atau senioriti? Jika kaliber dan senioriti kayu ukurnya, terbukti itu dusta kerana ia tidak berlaku di Terengganu.



Jika benar pun Mukhriz tidak cekap dalam pengurusan, apalah salahnya untuk Presiden parti memberi peluang dan ruangkepada beliau untuk membuat proses penambahbaikan? Lupakah Presiden yang beliau juga bermula sebagai calon bidang terjun yang tiada pengalaman, masih hijau dalam arena politik, tetapi melalui bantuan dan sokongan daripada pemimpin terdahulu, beliau dapat berdiri di mana beliau sekarang. Bantulah Mukhriz seperti mana Tun Abdul Razak membantu Tun Mahathir pada awal karier politiknya dan seperti mana Tun Mahathir membantu Presiden parti untuk mengenderai haluan parti dan negara.

Sesungguhnya, pihak yang paling layak untuk menilai baik buruk pemimpin itu ialah rakyat. Mereka yang mengundi dan memberikan mandat. Pelik bin ajaib apabila pemimpin yang tidak bermasalah tiba-tiba sahaja disergah dan digertak oleh orang dalam parti sendiri dan mandat yang diberikan rakyat dibakulsampahkan sewenang-wenangnya bukankah selama ini politikus bekerja kuat untuk mendapatkan mandat dan kini setelah menggenggam mandat itu, tanpa rasa bersalah, ia diperkosa secara terang-terangan. Saya menyeru pemimpin-pemimpin UMNO supaya berhenti merogol mandat rakyat dengan menukar pemimpin sedia ada hanya kerana tidak sebulu atau pun disebabkan masalah peribadi walaupun pada hakikatnya pemimpin berkenaan disenangi rakyat.





Aizat Fikri Nasir Fikri merupakan bekas Timbalan Presiden UMNO London.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Source from FMT News

Post a Comment

 
Top