0

Ia susulan beberapa pemimpin MCA dikatakan cuba menumpang nama di atas kejayaan pihak lain menyelesaikan isu Kampung Sungai Terentang.


PETALING JAYA: MCA dibidas kerana dikatakan cuba menumpang nama atas kejayaan pihak lain dalam menyelesaikan laluan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang telah mengubah jajaran dan tidak melalui Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, benarkah MCA yang memainkan peranan sehingga jajaran CAR diubah dan jika media tersalah lapor, mengapa parti itu tidak menjelaskan perkara sebenar?

“Sekiranya benar MCA menumpang nama untuk sesuatu yang ia tidak berhak dan MCA terus berdiam diri mengharapkan berita ini dilupakan begitu sahaja, parti tersebut ternyata dipenuhi pembohong yang tidak tahu malu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.




Lip Eng mengulas tindakan beberapa pemimpin MCA yang dikatakan cuba menumpang kejayaan di atas pihak lain dalam menyelesaikan isu laluan jajaran CAR apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju untuk mengubah laluan jajaran sekaligus menyelamatkan Kampung Sungai Terentang.

Sehubungan itu, Lip Eng memberi tiga cadangan kepada MCA yang didakwanya terhegeh-hegeh mahu dipuji untuk perkara-perkara yang ia lakukan untuk orang ramai.

Pertama, katanya, kenapa MCA tidak minta dipuji kerana menyokong GST di Parlimen?

“Malah saya rasa bakal-bakal calon mereka wajar dicabar untuk menggunakan slogan ‘Undilah saya, MCA sokong GST’ dalam poster kempen masing-masing pada pilihan raya akan dating,” katanya.

Cadangan kedua, kata Lip Eng, MCA seharusnya berbangga dan minta dipuji setelah berjaya membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membersihkan namanya dalam skandal RM2.6 bilion, di samping turut berkongsi sebahagian daripada derma daripada Arab Saudi tersebut.




Cadangan ketiga pula katanya, MCA sepatutnya berbangga dan mengaku berjasa setelah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digantung, yang memaksa pelajar cemerlang untuk sekadar menyambung pelajaran di universiti tempatan.

“Pada hari Tahun Baru Cina ini, rakyat Malaysia berketurunan Tionghua terus diingatkan tentang kemunafikan dan kegagalan sebuah parti politik yang mendakwa mereka mewakili serta memimpin masyarakat Cina. Tiada lagi harapan untuk parti yang tidak relevan ini.

“Semoga negara terhindar daripada kemunafikan MCA dan sekutu-sekutunya,” katanya.




Source from Free Malaysia Today

Post a Comment

 
Top