0

Kebocoran maklumat itu tidak perlu ditakuti jika pemimpin negara tidak melakukannya

PETALING JAYA: Kepimpinan negara tidak perlu takut dengan isu kebocoran maklumat sekiranya mereka tidak terlibat dengan perkara yang dibocorkan itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Malaysia akan lebih diyakini masyarakat antarabangsa sekiranya pemimpin negara tidak mengamalkan sebarang salah laku jenayah.

“Saya hendak tanya kerajaan UMNO BN dan Perdana Menteri Najib, kenapa takut sangat dengan kebocoran dokumen kerajaan yang dikatakan rahsia?

“Apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat? Perkara apa yang rakyat tidak boleh diberitahu daripada dokumen yang dirahsiakan? Keselamatan negarakah atau penyelewengan rasuah yang membabitkan pemimpin yang mahu dirahsiakan daripada rakyat?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mencadangkan pindaan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) yang jelas dilihat mahu menjaga kepentingan pihak tertentu susulan pelbagai kebocoran makumat melibatkan pentadbiran negara.




Mengulas lanjut Mahfuz mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan kepimpinan UMNO serta Peguam Negara masih dengan paradigma `tua kuno’ apabila beranggapan jika tidak dikawal kebocoran dokumen rahsia kerajaan, akan berlaku krisis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap negara khususnya terhadap pengurusan kewangan dan ekonomi.

“Sebaliknya, ekonomi negara akan lebih meyakinkan kerana masyarakat antarabangsa akan lebih percaya Malaysia kerana keberanian, keterbukaan dan ketelusan dari sebarang salah laku jenayah rasuah. Jangan takut dan berahsia kalau tidak buat salah, tipu dan rasuah,” tegasnya.

Bekas Ketua Penerangan PAS itu turut berkata, pihak pemerintah seharusnya pandai membezakan dokumen rahsia negara yang membabitkan keselamatan dan pertahanan yang sememangnya perlu dirahsiakan.

Namun katanya, dokumen pembelian peralatan keselamatan dan pertahanan negara memungkinkan wujudnya salah urus dan unsur rasuah seperti skandal pembelian kapal selam, dokumen yang berkaitan kontrak projek pembinaan kem tentera, balai polis dan sebagainya perlu dibebaskan daripada OSA.




“Begitu juga dengan surat teguran Gabenor Bank Negara terhadap TH (Tabung Haji) tidak perlu dilihat sebagai kebocoran rahsia sebaliknya, ini adalah untuk membolehkan proses semak imbang rakyat bagi memastikan urus tadbir ekonomi dan kewangan negara lebih telus dan berintegriti serta mengelak daripada ketirisan serta kebocoran wang negara akibat daripada salah laku jenayah rasuah pemimpin negara dan pegawai awam,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, Apandi dilapor sedang menimbang untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan meningkatkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan terhadap pengamal media yang melaporkannya jika didapati bersalah.




Source from FMT

Post a Comment

 
Top